Sarah Yasmine yang sebelum ini pernah mengaku sebagai kekasih Alif Aziz kini menuntut ganti rugi hampir 1 juta ringgit terhadap Aliff Aziz.
Dia menuntut gantirugi terhadap Aliff Aziz berikutan tindakan Aliff Aziz memulakan tuntutan Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) terhadapnya tahun lalu.
Menurut Sarah, tindakan undang-undang itu tidak berasas memandangkan Aliff dan Ruhainies sudah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat pada Februari lalu.
Sarah Yasmine memuat naik surat itu di dalam akaun media sosialnya,
“Saya merujuk kepada pengakuan bersalah anda pada 21 Februari 2025 berkaitan dengan kes khalwat melibatkan seorang pelakon Malaysia, seperti dilaporkan secara meluas di media Singapura dan Malaysia.
“Pengakuan ini mengesahkan bahawa kenyataan saya sebelum ini mengenai hubungan anda dengan pelakon tersebut, yang telah saya kongsikan secara terbuka, adalah benar dan bukan fitnah.
“Walaupun begitu, anda secara salah telah memulakan tuntutan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA) terhadap saya, yang membawa kepada Perintah Perlindungan Segera (EPO) yang dikeluarkan pada 29 April 2024. Tindakan undang-undang ini adalah tidak berasas,” katanya.
Sarah berkongsi perkara itu menerusi notis tuntutan (letter of demand) yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Tambah Sarah, dia juga memberi tempoh tujuh hari kepada Aliff untuk melunaskan ganti rugi seperti diminta. Dia juga menyatakan yang dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang cuba memburukkan nama baiknya sebelum ini.
“Ini hanyalah permulaan, bagi mereka yang telah menganiaya saya dalam tempoh sama, terutamanya mereka yang mereka cipta fitnah tentang saya, sama ada besar atau kecil, ketahuilah bahawa saya akan datang untuk anda juga tahun ini. Anda tahu siapa anda. Kebenaran, pasti akan menang,” katanya lagi.
Pada tahun lalu, Sarah memaklumkan dia menerima notis mahkamah di Singapura untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan membabitkan Aliff.
Nama Sarah menjadi bualan hangat apabila dia muncul mengaku dirinya kekasih Aliff.
Sumber: mStar