Tular Guru Pukul Murid Di Pulau Pinang Sampai Cedera — Salah Guru Ataupun Salah Sistem?
Baru-baru ni, tular satu kes guru pukul murid di Pulau Pinang.
Seorang murid Tahun dua dilaporkan cedera selepas dipukul guru dengan pembaris. JPN Pulau Pinang sudah mula menyiasat, PPD pun dah jumpa waris murid berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
</figure>Di dalam social media, ramai juga yang terus melenting, terus kata cikgu tu ada masalah mental, bagi cikgu tu cuti panjang. Namun ada juga yang cakap budak tu terlalu manja, ibu bapa terlalu manja.
Namun, secara jujurnya, adakah kita tengok gambaran sepenuhnya dari kejadian ini?
## Tak Defend Guru Pukul Murid Tu. Tapi…
Terdahulu, satu hantaran oleh seorang wanita di Facebook tular apabila mendakwa anak lelakinya yang bersekolah di Tahun dua di sebuah sekolah di pulau pinang dipukul menggunakan pembaris kayu selepas terlupa menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh cikgu.
Dalam hantaran itu, individu itu mendakwa jari anaknya bengkak dan mengadu sakit sebaik pulang dari sekolah.
Kalau pembaris sampai pecah dan tangan atau jari dah lebam, tu memang agak melampau. Itu bukan lagi kategori mendisiplinkan, tapi itu dah jadi kategori mencederakan dengan serangan.
Walaubagaimanapun, kita kena tanya soalan yang lebih penting: kenapa sampai jadi macam tu?
Adakah guru tu sebenarnya berniat jahat? Ataupun sistem kita sebenarnya sudah lama bermasalah?
ubipanas kupas bersama.
## Realiti Tekanan Kerja Sebagai Seorang Guru
Profesion perguruan boleh menjadi sangat mencabar dan memberi tekanan kerja tinggi. Tekanan ini boleh menyebabkan kepuasan kerja berkurangan, burnout serta prestasi kerja yang merosot.
Jangan salah faham, ini bukan alasan, dan bukan juga untuk menyebelahi guru. Dan ini bukan sekadar andaian, ini terbukti melalui kajian.
</figure>Sebuah kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Environmental Research and Public Health, Stress, Burnout, Anxiety and Depression among Teachers: A Scoping Review (Agyapong et al., 2022) mendapati bahawa tahap tekanan, burnout, depression dan anxiety dalam kalangan guru adalah sangat tinggi dan perlu perhatian serius.
Tekanan merupakan tindak balas normal terhadap peristiwa yang membimbangkan atau memberi ancaman.
Namun, tekanan kronik boleh menghalang fungsi harian dan keseimbangan emosi, serta menjadi faktor risiko kepada penyakit psikiatri yang lain, seperti anxiety dan depression.
Tekanan kronik juga boleh menyebabkan perasaan marah yang berlebihan serta peningkatan pengambilan alkohol dan dadah selain menyebabkan individu mengalami anxiety yang melampau, keletihan mental, kelesuan, serta boleh menjadi penyumbang kepada kes depression.
Kajian lain dalam Frontiers in Psychology, The Relationship Between Teacher Job Stress and Burnout: A Moderated Mediation Model (Zhao et al., 2021) yang melibatkan 558 orang guru mendapati bahawa stress kerja mempunyai kesan secara langsung terhadap burnout.
Kalau dilihat, Guru di Malaysia kena handle murid seramai 40 orang atau lebih dalam 1 kelas. Guru juga kena siapkan kertas kerja yang banyak, kena kejar target peperiksaan. Kadang-kadang guru kena jawab ibu bapa yang komplen.
Bila semua tekanan tu dah terkumpul dalam diri seorang manusia, dan dia masuk kelas, tapi budak dalam kelas buat hal pula, berlaku kemarahan yang tidak terkawal. Bukan sebab dia jahat. Tapi mungkin sebab dia tidak tahu macamana untuk handle breaking point atau emosi dia sendiri.
Psikologi 101: “Anger Escalation Cycle”
Ini bukan teori. Ini adalah model Psychology yang memang dah lama diiktiraf.
Menurut model Emotional Arousal Cycle yang diperkenalkan oleh Kaplan dan Wheeler pada tahun 1983 dan kemudiannya dikembangkan oleh para penyelidik, kemarahan manusia melalui beberapa fasa seperti berikut:
</figure>Gambar di atas berdasarkan teori Emotional Arousal Cycle oleh Kaplan dan Wheeler (1983) dipetik dari scottishconflictresolution.org.uk
Teori di atas seakan-akan sama dengan apa yang selalu terjadi dalam situasi guru dan murid:
Murid buat perangai → Guru marah → Murid masih degil → Guru lagi marah → Situasi makin panas → Tindakan marah yang keterlaluan berlaku
Keadaan jadi bahaya apabila situasi masuk ke dalam fasa escalation, otak akan mula berfikir secara tidak rasional. Sebuah kajian dalam Scientific Reports, Anger and emotion regulation strategies: a meta-analysis, (Pop et al., 2025) mendapati bahawa perasaan marah yang tidak diurus dengan baik boleh berubah kepada tingkah laku agresif.
Menurut kajian itu lagi, strategi paling berkesan untuk memutus kitaran ni adalah reappraisal (menilai semula situasi) dan acceptance (menerima) emosi marah tersebut dan secara sedar, mengubah cara fikir mereka tentang situasi tersebut.
So, setiap kali murid tu tak dengar cakap, kemarahan guru bertambah, bukannya turun. Dan bila dah sampai tahap kritikal, tangan dah gerak dulu sebelum otak sempat berfikir.
Cadangan Yang Simple Untuk Sistem Perguruan dan Kementerian Pendidikan Malaysia
Kita tak perlu benda complicated. 3 benda berikut adalah cadangan untuk menambah baik sistem perguruan di Malaysia:
1) Diri Guru itu Sendiri
Guru harus diberi latihan untuk mengenali dan memahami keadaan emosi sendiri. Mereka juga harus di beri latihan untuk mengurus emosi dengan cara seperti reappraisal (menilai semula situasi), acceptance (menerima) situasi yang mana mereka tengah marah ataupun dengan cara lain yang terbukti dari suduk Psychology.
Latihan haruslah ongoing. Maksudnya, pelatih guru di ajar dan dilatih untuk mengurus emosi semasa belajar dalam institut perguruan. Dan guru yang sudah berkhidmat juga dihantar untuk belajar dan berlatih secara berkala.
Guru yang dalam keadaan tidak dapat mengawal kemarahan atau berada dalam keadaan Emotional Flooding, harus memberi kerja dalam kelas pada murid dan guru tersebut keluar kelas seketika, mungkin 15-20 minit.
Mengasingkan diri untuk sementara dari situasi dalam tempoh lebih kurang 20 minutes adalah salah satu teknik pengurusan emosi yang terbukti berkesan untuk mencegah tindakan impulsif.
Kenapa 20 minit? Menurut John Gottman dalam artikel Emotional Flooding And What To Do About It, Emotional Flooding (Emosi yang keterlaluan), keadaan tertekan dan marah, kadar denyutan jantung akan meningkat dari kadar normal iaitu sekitar 74-85 naik ke sekitar 90 denyutan, seseorang itu dalam keadan Emotional flooding.
“Flooding” adalah satu proses di mana badan kita dilanda “banjir bio-kimia” sebagai persediaan untuk bertindak balas terhadap sesuatu situasi. Bahan kimia dalam badan yang dipanggil neurotransmitter perlu melalui rangkaian saraf, diserap ke dalam tisu badan dan dikeluarkan melalui air kencing sebelum kadar denyutan jantung dapat kembali normal. Proses ini mengambil masa 20 minit. Seseorang memerlukan rehat sekurang-kurangnya 20 minit untuk benar-benar tenang secara fisiologi.
Jika situasi yang menyebabkan tekanan itu masih berterusan, kadar denyutan jantung akan kekal tinggi, badan akan terus mengepam adrenalin dan pemikiran seseorang akan menjadi keliru. Seseorang itu akan kekal dalam keadaan reaktif secara fisiologi walaupun anda tahu bahawa tindak balas yang berbeza diperlukan. Kebanyakan orang merasakan mereka sudah tenang, jauh sebelum mereka benar-benar tenang secara fisiologi.
2) Campur Tangan Pihak Ketiga (Kaunselor / Penolong Kanan)
Kalau murid masih bermasalah selepas itu, guru sepatutnya tidak handle seorang diri. Untuk handle situasi macam ni kena ada fresh perspective. Serahkan kepada kaunselor atau Penolong Kanan.
Kenapa penglibatan orang ketiga berkesan? Sebab mereka datang tanpa “residue kemarahan” terhadap situasi tu.
Mereka boleh menilai situasi melalui fresh perspective, bukan dalam keadaan marah dan ambil tindakan yang sesuai. Konsep ni selari dengan kajian de-escalation dalam pengurusan konflik, pihak neutral yang masuk fresh terbukti lebih berjaya meredakan situasi berbanding pihak yang dah terlibat secara emosi.
### 3) Sistem Reporting
Insiden yang sudah berlaku haruslah direkodkan. Apa yang terjadi, tindakan yang diambil dan kesan dari tindakan yang diambil. Adakah tindakan yang diambil dapat menangani perkara tersebut ataupun tidak.
Perkara ini harus libatkan ibu bapa. Guru tidak sepatutnya mengambil tindakan agresif sendiri seperti memukul berlebihan.
Dalam kes pelajar di Pulau Pinang, guru harus mengambil tindakan seperti memberi denda sahaja untuk peringatan, namun kalau murid itu melawan, serahkan pada kaunselor sekolah atau pihak penolong kanan.
Bila masalah sudah selesai, rekodkan dan libatkan ibu bapa seperti memberi maklumat pada ibu bapa.
“Tapi Bukankah dengan cara ini tanda guru tu Lemah?”
Inilah lah mindset yang kena kita buang.
Kajian dalam EBSCO Research, Teacher burnout (Rana, 2021) menyatakan dengan jelas bahawa burnout paling kerap berlaku apabila stres berlaku tanpa adanya strategi coping mechanism yang mencukupi bukan sebab individu tu lemah, tapi sebab mereka tidak pernah diberi kemudahan untuk menghadapinya.
Dalam dunia kerja lain pun sama, contohnya kalau customer service agent dah clash dengan pelanggan, supervisor akan masuk ambil alih. Bukan sebab agent tu bodoh atau lemah, tapi sebab dinamik dah rosak dan orang baru boleh selesaikan dengan lebih baik.
Minta bantuan tandanya guru itu bertanggungjawab untuk mendidik, bukan tanda kegagalan.
Apa Kementerian Pendidikan Malaysia Perlu Buat?
1. Wajibkan kursus pengurusan emosi untuk semua guru
Bukan kursus motivasi biasa, tapi latihan praktikal berdasarkan Cognitive Behavioural Therapy (CBT) dan Mindfulness-Based Stress Reduction (MBSR) yang terbukti secara saintifik berkesan untuk mengurangkan kemarahan dan agresif.
2. Normalkan budaya “pass over”
Normalisasikan guru yang minta bantuan orang ketiga untuk menyelesaikan masalah pelajar. Guru macam ni seharusnya dipuji, sebab bertanggungjawab mendidik murid-murid bukannya diejek rakan sekerja.
3. Kurangkan beban kerja admin
KPM seharunya mengurangkan beban kerja admin untuk guru. Kenapa? supaya guru masuk kelas dalam keadaan mental yang lebih baik dan boleh menumpukan lebih perhatian untuk mendidik anak bangsa, bukan menghabiskan banyak masa untuk kerja-kerja admin.
4. Wujudkan SOP bertulis yang jelas
KPM juga haruslah mengetengahkan SOP yang jelas, langkah demi langkah apa yang perlu dilakukan jika situasi seperti ini terjadi.
Bila situasi seperti ini terjadi, tetapi guru tidak ada framework yang mereka boleh ikut, ini akan menyebabkan guru-guru mengambil tindakan sendiri.
Kesimpulan
Kes Pulau Pinang ni bukan kes pertama, dan kalau kita tak ubah sistem, ia tidak akan jadi kes terakhir. Kita boleh marah pada guru tu. Kita boleh tuntut tindakan undang-undang. Tapi kalau kita tak selesaikan punca sebenar, guru yang tertekan tanpa kemahiran mengurus emosi, dalam sistem yang tak ada SOP yang jelas, kita akan terus tengok kes-kes macam ni tular setiap tahun.
Murid-murid layak untuk mendapat kualiti pendidikan lebih baik. Guru-guru pun layak mendapat sistem sokongan yang lebih baik.
Apa pendapat korang? Drop komen kat bawah. Kalau rasa artikel ni ada point, share dengan kawan-kawan, mana tahu sampai ke telinga orang yang boleh buat perubahan.