Gosip cinta penyanyi dan pelakon Bella Astilah dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bukan sahaja menjadi bualan di negara sendiri, gosip cinta mereka sudah “terbang” hingga ke Korea Selatan.
Ia berikutan laporan sebuah portal hiburan negara tersebut iaitu Koreaboo mengenai gosip cinta Bella Astilah dan Syed Sadddiq baru baru ini.
Artikel bertajuk ‘Divorced actress’s rumored new boyfriend swims across the sea for her’ melaporkan mengenai video yang dimuat naik Syed Saddiq ketika terjun ke laut sebelum berenang menuju ke arah Bella yang menantinya.
Potral tersebut turut menceritakan serba sedikit mengenai Bella termasuk cerita kontroversi perceraian dengan bekas suaminya, Aliff Aziz.
Laporan itu juga turut memuatkan cerita mengenai kes mahkamah Syed Saddiq yang melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang melibatkan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Turut diselitkan mengenai kenyataan ibu Syed Saddiq iaitu Sharifah Mahani yang menyamakan kisah cinta anaknya seperti Romeo dan Juliet.
Perkongsian artikel itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata teruja apabila kisah pasangan kegemaran mereka turut mendapat perhatian portal hiburan antarabangsa.
Dalam pada itu, ada yang mengatakan dahsyat penangan pasangan itu sehingga sampai ke Korea serta berharap agar gosip cinta mereka berakhir ke jenjang pelamin.
“Sudah sampai ke Korea BASS kita. Lipat sahajalah bumi ini.
“Lain macam dan kuat sunggu aura BASS. Semoga gosip cinta mereka berakhir ke jenjang pelamin.
“BASS mendunia. Memang dahsyat betul penangan mereka, sampai ke Korea,” komen netizen.
Sejak kebelakangan ini, hubungan rapat kedua-dua figura popular terbabit semakin hangat diperkatakan selepas masing-masing dipilih menjadi duta jenama pakaian.
Mereka dilihat banyak meluangkan masa bersama, malah turut berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, baru-baru ini.
Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian bekas isteri kepada pelakon Aliff Aziz itu yang berjudul Tapi Bukan Denganmu.
Sumber: Kosmo